Thursday, January 19, 2012

Nikah Khitbah untuk KAPEL

Dalam adat Melayu perkahwinan dimulai dengan pertunangan sedangkan mengikut cara yang diamalkan dalam masyarakat dulu iaitu nikah gantung adalah lebih menepati maksud khitbah dalam Islam bukannya bertunang. Ada orang yang menyamakan khitbah dalam Islam sebagai pertunangan adalah tidak tepat. Akibat dari cara khitbah yang salah telah menjadikan pertunangan sebagai asas untuk menghalalkan “coupling” (dulu disebut berdua-duaan atau merendek) antara lelaki dan wanita.
Ada yang memberi alasan untuk ber’couple’ dulu atau bertunang dulu untuk kenal mengenali satu sama lain sedangkan hubungan perkahwinan bukan isu hukum “cuba-cuba” atau “trial and error”. Ia adalah satu amanah dalam Islam. Ramai di kalangan remaja pernah mengatakan, “Alah, takkan tak boleh couple ustaz, kita ni bukan hidup zaman dulu lagi. Lagipun bukan buat apa-apa, untuk suka-suka aje!”. Ada yang berkata, “Bertunang boleh kenal hati budi, kalau tak sesuai boleh putuskan tapi kalau dah kahwin susahlah, nak bercerai malu!”
Isunya: Siapa kata tak boleh coupling? Nak bercouple, couplelah, tapi kena dengan cara yang halal, iaitu bernikah!.
Apabila persoalan nikah ini diutarakan, ramai yang akan memberikan respon yang skeptik. “Saya belum bekerja!”, “Saya masih belajar!”, “Mana nak cari duit buat belanja kahwin?”, “Ni bukan main-main, nak bagi anak orang makan apa?”, “Mak Ayah tak bagi!”, “Nak tinggal kat mana? Sapa yang nak bayar sewa rumah” dan 1001 alasan lagi. Kenapa mereka boleh beralasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan alasan untuk melakukan perkara yang haram? Jawapan saya bagi segala persoalan tersebut, mudah sahaja, “Kamu wajib berkhitbah!”.
Khitbah
Secara literalnya, ia membawa maksud “bertunang”. Bertunang menurut adat dan pengamalan orang Melayu adalah perjanjian di antara dua orang insan untuk berkahwin melalui proses ritual tertentu. Definisi itu jugalah yang terdapat dalam pengamalan fiqh klasik dan juga di zaman Rasulullah s.a.w. Definisi ini jugalah yang diamalkan oleh orang-orang Melayu di Malaysia. Malangnya, disebabkan kejahilan masyarakat, hubungan pertunangan yang sekadar perjanjian semata-mata ini, akhirnya dianggap sebagai upacara untuk menghalalkan perhubungan di antara dua pihak yang bertunang. Lebih dahsyat lagi, ada di antara ibu bapa yang menyangkakan bahawa bertunang bermaksud “separuh berkahwin”. Ada pasangan yang bertunang, berpelesiran, berpegangan tangan dan juga bermadu asmara akan cuba menjustifikasikan tindakan tersebut dengan ikatan pertunangan serta mendapat restu ibu bapa kedua-dua belah pihak. Lebih menyedihkan ada yang bertunang kemudian ber’coupling’ berakhir dengan keterlanjuran, kemudian putus dengan pelbagai alasan.
Khitbah menurut pengamalan orang Arab moden, terutamanya di Jordan pula amat berbeza dengan pengamalan orang bertunang secara klasikal dan juga pengamalan orang Melayu. Ia merupakan “akad nikah” dalam erti kata yang sebenar. Akad khitbah di dalam masyarakat arab pada realitinya merupakan akad nikah. Seperkara yang membezakan di antara akad nikah dan khitbah ialah kedua-dua pasangan khitbah tidak tinggal bersama sehinggalah selesai majlis perkahwinan dijalankan. Pada dasarnya, mereka berdua adalah suami isteri dan halal untuk melakukan apa sahaja yang difikirkan untuk mereka melakukannya. Di dalam masyarakat kita, pernikahan tersebut diberikan nama “nikah gantung” (bunyinya amat mengerikan?).
Jika ditukarkan nama “nikah gantung” tersebut kepada “nikah khitbah” tentu konotasi terhadap kontrak tersebut tidaklah mengerikan. Bunyinya pun agak “islamik”. Jika ia dapat diamalkan oleh kebanyakan pemuda pemudi kita hatta yang janda, duda atau yang nak berpoligami serta yang dilanda asmara dan cinta serius berkemungkinan ia boleh menyelesaikan banyak perkara yang mereka hadapi.
Nikah adalah untuk menghalalkan perhubungan dan juga membina kematangan. Yang utamanya, kedua-dua pasangan sudah halal dan sudah boleh bersama dan melakukan apa sahaja. Bunyinya agak mudah, namun realitinya tidak demikian. Sudah pasti ada ibu bapa tidak akan bersetuju. Dalam hal ini, anjakan paradigma oleh para ibu bapa amat diperlukan.
Credit to Syahirul. siapakah? :O
Sekian . Terimakasih.
KAKJAH

No comments:

Post a Comment

karya kak jah